Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad / Foto : Mohd. Zul Izzi Haji Duraman
TUNGKU LINK, Isnin, 8 Jun. - Universiti Brunei Darussalam (UBD) secara rasmi melancarkan semula UBD Startup Centre @ Entrepreneurship Village (USC @ EV), sebuah hab inkubasi yang didedikasikan untuk memupuk bakat keusahawanan, menyokong pertumbuhan syarikat pemula serta memperkukuhkan budaya inovasi dalam kalangan warga universiti dan ekosistem keusahawanan negara.
Direka sebagai platform yang mudah diakses dan berpatutan, USC @ EV menyediakan kemudahan, program serta persekitaran kolaboratif bagi membantu pelajar, alumni, penyelidik, kakitangan dan usahawan muda mengembangkan idea mereka menjadi perusahaan yang berdaya maju.
Majlis pelancaran semula tersebut disempurnakan oleh Naib Canselor UBD, Dr. Hazri bin Haji Kifle, dan dihadiri lebih 50 orang jemputan yang terdiri daripada rakan industri, ahli akademik, usahawan serta warga UBD.
Pelancaran semula ini menandakan USC @ EV sebagai ruang khusus bagi keusahawanan dan inovasi, sekali gus mengukuhkan kedudukan UBD sebagai institusi peneraju dalam inkubasi syarikat pemula dan pembangunan perusahaan di Brunei Darussalam.
Pusat tersebut dijangka berperanan sebagai platform keusahawanan kebangsaan yang memperkukuhkan kerjasama antara UBD dan pihak industri melalui peluang kolaborasi, bimbingan serta pelaburan.
Pada masa yang sama, ia menyediakan saluran yang mudah diakses dan berpatutan kepada warga UBD untuk membangun dan mengembangkan perusahaan serta projek keusahawanan mereka.
Menurut Pengarah Penglibatan Industri dan Pembangunan Perusahaan (IEED), Dr. Annie Dayani binti Haji Ahad Abdullah, USC @ EV dihasrat menjadi ruang yang menghubungkan kreativiti dengan pengkomersialan, kecemerlangan akademik dengan realiti pasaran, serta menyediakan sokongan yang diperlukan oleh generasi baharu usahawan Brunei untuk berjaya.
USC @ EV beroperasi berasaskan empat teras strategik utama, iaitu sebagai landasan pelancaran bagi pengasas syarikat pemula kali pertama, pusat pengkomersialan penyelidikan, hab inovasi berterusan serta saluran bagi syarikat spin-off yang lahir daripada UBD.
Kesemua teras ini bertujuan merapatkan jurang antara ilmu akademik dan dunia perusahaan sebenar.
Dengan penekanan terhadap pencapaian hasil yang nyata, USC @ EV menyasarkan untuk mempercepatkan pembangunan syarikat pemula peringkat awal, memperkukuhkan kerjasama dengan industri serta membudayakan semangat keusahawanan yang melangkaui kampus universiti.
Selain itu, pusat ini juga berhasrat membantu penyelidikan dan idea berpotensi yang dihasilkan di UBD untuk berkembang menjadi syarikat bebas yang mampu mewujudkan peluang pekerjaan di negara ini.
Acara tersebut dianjurkan oleh Unit Pengkomersialan di bawah Pejabat Penolong Naib Canselor bagi Penglibatan Industri dan Pembangunan Perusahaan (OAVC-IEED).
Majlis turut menyaksikan upacara pemotongan reben oleh Naib Canselor UBD sebagai simbolik pembukaan semula pusat berkenaan, diikuti lawatan ke kemudahan yang disediakan serta sesi rangkaian yang menampilkan pameran usahawan pelajar dan projek syarikat pemula.
USC @ EV dijangka meningkatkan keterlihatan inisiatif keusahawanan UBD dalam kalangan pihak industri dan kerajaan, menarik lebih banyak penyertaan syarikat pemula pelajar serta mengukuhkan sokongan jangka panjang terhadap pusat tersebut.
Melalui peluang kerjasama, bimbingan dan pelaburan bersama sektor swasta, pusat ini turut berperanan menggalakkan pelajar, kakitangan dan usahawan muda di Brunei Darussalam untuk meneroka bidang keusahawanan sebagai laluan kerjaya yang berdaya maju, selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035.